DAY 7 – Trip to Balkan – Memandu dari Kotor, Montenegro Cross Border ke Skoder & Tirana (Albania)
Pada pagi Khamis 11 September 2025, kami bangun seawal pagi untuk solat subuh dan sediakan breakfast ala kadar untuk meneruskan perjalanan kami meninggalkan pekan Kotor menuju ke destinasi seterusnya. Kami turun membawa bagasi masing-masing dan memuatkannya ke dalam boot kereta sebelum setting Google Maps menuju ke arah Skoder, Albania. Kami berhenti di Gas Station untuk mengisi fuel sebelum meneruskan perjalanan. Kami perasan rupanya kami melalui jalan ke Budva City semalam dan meneruskan perjalanan ke Bar. Alhamdulillah, jalan tersebut membawa kami untuk singgah di Masjid Selimiye, Bar terletak di b.b Stari Bar, Bar 85000. Kami berhenti rehat sebentar di masjid tersebut dan singgah di café di dalam kawasan masjid untuk minum kopi sambil meninjau-ninjau aktiviti penduduk muslim di situ.
Gambar Masjid Selimeye, Bar
Café di Masjid Selimeye, Bar
Setelah keadaan mata dan emosi kembali segar semula, kami meneruskan pemanduan dengan lebih berhati-hati melalui jalan yang agak sempit, curam dn berbatu menuju ke cross border di Muriqan-Sukobin yang menghala ke Shkoder, Albania. Kami merancang untuk stop di mana-mana pekan yang dilalui sekiranya terlihat Money Changer kerana kami belum ada sesen pun duit Albania walaupun kami telah setting Google Maps menghala ke Rozafa Castle, Shkoder, Albania.
Setelah memandu lebih kurang 2 jam setengah kami pun sampai ke destinasi persinggahan pertama pada hari itu iaitu ke ROZAFA Castle yang terletak di 2FWV+HCH, Rruga Rozafa, Shkodër, Albania. Kami memandu kereta mendaki bukit sehingga sampai berdekatan kaunter dan pintu masuk ke Rozafa Castle.
Berhampiran dengan kaunter tersebut terdapat beberapa gerai peniaga yang menjual souveniour dan kain-kain bercorak dengan tulisan Albania yang dijual oleh peniaga tempatan. Sekiranya berminat boleh sahaja bertanya dan tawar-menawar bagi mendapatkan special diskaun untuk dibuat buah tangan kenangan dibawa balik sesuai sebagai hadiah nanti.
Setelah siap berjalan dan meninjau ke setiap sudut di dalam Rosafa Castle tersebut, kami pun mengambil keputusan untuk keluar dan meneruskan perjalanan menuju ke Masjid Xhamia e Madhe - Ebu Bekr di Skhoder terletak di Rruga Fushë Cele 1, Shkodër, Albania yang terletak kira-kira 5 km dengan mengambil masa lebih kurang 15 minit sahaja. Kami masuk ke parking berbayar di hadapan perkarangan masjid untuk singgah ke toilet dan kebetulan terdapat Money Changer bersebelahan masjid tersebut di mana kami singgah di situ untuk menukarkan mata wang Albania iaitu Lake.
Masjid Xhamia e Madhe - Ebu Bekr di Skhoder
Kami berlegar-legar di dalam masjid untuk mencari toilet rupa-rupanya toilet dibina berasingan dengan bangunan masjid dan terletak di hujung jalan depan masjid tersebut dan berhampiran deretan kedai-kedai tidak berapa jauh dari Money Changer tadi.
Setelah bersolat dan berehat beberapa minit di masjid, kami meninggalkan masjid tersebut dengan setting Google Maps menuju ke arah Berat Castle sejauh 195 km dengan mengambil masa pemanduan sekitar 3 jam.
Kami sampai ke parking berhampiran dengan pintu masuk ke Berat Castle yang terletak di Sheshi Sallabanda 5001, Berat, Albania. Kelihatan beberapa bas pelancong parking sambil menunggu rombongan masing-masing berulang alik masuk dan keluar dari kota tersebut. Kami masuk ke kawasan parking yang berbayar dan berjalan menuju ke pintu Berat Castle. Di jalan-jalan tersebut kelihatan ada beberapa pemuzik jalanan yang bermain gitar dan gendang sambil menyanyi lagu tempatan.
Berat Castle
Semasa berjalan masuk ke Berat castle berhati-hatilah kerana kereta lalu lalang untuk masuk ke dalam kawasan kota tersebut. Rupa-rupanya di dalam kawasan kota tersebut ada homestay dan juga bebarapa restoran untuk pengunjung yang mahu menginap di situ. Kami berjalan-jalan di beberapa jalan di dalam kawasan kota tersebut sambil snap beberapa gambar kenangan. Setelah mundar mandir ke setiap sudut di situ, kami pun berjalan berpatah balik semula ke kawasan parking untuk beredar menuju ke bandar Tirana.
Kami setting Google Maps menuju ke bandar Tirana yang berjarak sekitar 98 km dengan masa pemanduan kira-kira 2 jam. Di dalam perjalanan kami menghantar pesanan kepada penjaga apartment bagi mendapatkan kunci bilik. Kami telah menempah bilik di Alara Apartment melalui website Booking.com dengan harga RM181 (EUR37.13) semalam yang beralamat di Rruga Ferit Xhajko 60/2,1-3, 1001 Tirana, Albania.
Bangunan-bangunan di Tirana merupakan binaan lama dan sistem jalan rayanya kelihatan tidak tersusun. Silalah berhati-hati jika anda memandu di Albania kerana rata-rata pemandu di sini memandu dengan sangat gopoh dan laju.
Setelah mendapatkan kunci bilik dari penjaga apartment tersebut yang tinggal hanya beberapa block sahaja, kami mengangkut beg masing-masing untuk mandi dan solat serta berehat akibat keletihan sementara menunggu waktu malam. Oleh kerana perut mula berkeroncong kami pun meninggalkan bilik tersebut dan keluar untuk tapau makanan dan singgah tapau di Capitol Meat & Chicken halal yang terletak di 8RRH+5P8, Rruga E Dibrës, Tiranë, Albania. Semasa kami balik Google Maps menghala kami ke suatu jalan shortcut yang semakin sempit jalannya sehingga betul-betul muat satu kereta sahaja di mana kami terpaksa mengundurkan kereta dengan bantuan seorang pejalan kaki yang sudi menghulur bantuan bagi memudahkan kami mengundurkan kereta untuk keluar ke jalan utama semula. Alhamdulillah, dalam keaadaan panik tersebut kami berjaya juga mengeluarkan kereta secara mengundur tanpa sebarang kerosakan.
Selepas itu, kami hanya memandu ke arah jalan utama untuk kembali ke bilik apartment tanpa menghiraukan shortcut yang ditunjukkan oleh Google Maps. Biarlah mengikut jalan yang jauh sikit asalkan tidak lagi shortcut masuk ke jalan-jalan kecil sehinggakan menyusahkan diri sendiri… Percayalah pesanan kami ini, usahlah percaya 100% kepada Google Maps jika anda memandu di Albania.
Dengan mood yang terkejut dan juga panik kami memandu berhati-hati sehinggalah sampai ke parking di depan Alara Apartment dan cepat-cepat makan makanan yang ditapau dan masing-masing tidur awal kerana keletihan.
DAY 8 – Trip to Balkan - Drive Dari Tirana (Albania) ke Border Crossing Qafë Thanë - Republic of Albania untuk menuju ke Ohrid (Macedonia)
Pada pagi Jumaat 12 September 2025, kami bangun solat subuh dan menyediakan sarapan ala-kadar dari bekal yang kami bawa serta bersiap lengkap berbaju kurta untuk solat jumaat nanti di Ohrid, Macedonia. Kami mengambil keputusan untuk bergerak terus menuju ke Ohrid, Macedonia dan kalau boleh secepat mungkin untuk keluar dari negara Albania. Pejalanan sejauh 140km itu akan mengambil masa sekitar 3 jam di mana kami memandu berhati-hati mengikut speed limit yang ditetapkan, lagi pun jalan-jalan yang kami lalui ini sedang giat diperbaiki dan banyak pula lori-lori binaan dan juga lori-lori trailer bermuatan berat di kedua-dua arah.
Setelah memandu lebih 2 jam dengan jarak sekitar 110km kami pun sampai ke sempadan negara Albania dan Macedonia iaitu Border Crossing Qafë Thanë - Republic of Albania dan melalui pemeriksaan immigration dan kastam yang amat cepat walaupun terpaksa berbaris panjang dengan beberapa buah kereta lain. Setelah melalui pemeriksaan tersebut kami meneruskan perjalanan menuju ke pekan Ohrid. Setibanya di pekan Ohrid kami menuju ke kawasan parking yang terletak betul-betul di sebelah tasik Ohrid yang luas terbentang kira-kira 360km2 di mana kita seakan-akan terasa seperti berada di tepi lautan luas.
Kami memandu menuju ke kawasan parking dan berjalan menuju ke arah Mosque of Ali Pasha, Ohrid yang terletak lebih kurang 500m dari kawasan parking tersebut. Memandangkan masih awal dan belum pun masuk waktu solat jumaat, kami terus mencari restoran halal untuk lunch berhenti di Restoran Adana dan kelihatan juga ramai pengunjung wanita sedang menjamu selera sambil menunggu kaum lelaki yang akan menunaikan solat jumaat nanti.
Solat jumaat disampaikan dalam Bahasa Macedonia dan sesekali khatib membaca ayat-ayat Al Quran dan juga berbahasa Arab. Khatib juga mendoakan juga untuk saudara-saudara kita di Palestin dan juga di negara-negara Islam yang lain. Amin…
Solat Jumaat di Masjid Ohrid
Terdapat 2 masjid di pekan Ohrid yang hanya terletak sejauh kira-kira 200m dan hanya Mosque of Ali Pasha, Ohrid yang dibuka untuk solat jumaat. Ada juga kemudahan toilet dan sebagainya di Koluglu Mosque yang terletak di 4Q9Q+VR5, Ohrid, North Macedonia.
Setelah selesai solat jumaat kami berlegar-legar keluar masuk di deretan kedai-kedai Old Bazar Street, Ohrid sementara menunggu waktu untuk mendapatkan kunci bilik. Setelah berjumpa dengan penjaga apartment dan mengambil kunci di kawasan parking apartment yang terletak hanya 600km dari pekan Ohrid, kami membawa beg masing-masing menaiki lif untuk checkin di Apartments Nora, Ohrid yang terletak di Dimitar Vlahov 23, 6000 Ohrid, North Macedonia / +38978567564.
Setelah berehat sebentar, kami keluar semula berjalan kaki menuju ke laluan pejalan kaki berpapan di Ohrid Broadwalk. Kelihatan semakin ramai pengunjung yang lalu lalang dan ada yang melepak makan dan minum di restoran-restoran di Old Bazar Street, Ohrid. Kami berjalan perlahan-lahan melalui Old Street, Ohrid setelah setting Google Maps ke arah Ohrid Broadwalk sambil meninjau-ninjau deretan bangunan kedai, pub, hotel dan sekolah. Sesekali kami memintas beberapa pelancong yang snap gambar berlatarbelakangkan Lake Ohrid yang luas dengan pelbagai aktiviti seperti berkayak dan menaiki bot mengelilingi tasik tersebut. Kami juga tidak melepaskan peluang dan turut snap gambar berlatarbelakangkan Ohrid Lake juga.
Kami mengekori beberapa kumpulan pelancong yang berjalan melalui laluan papan Ohrid Broadwalk sehingga ke penghujung jalan di mana kami terpaksa mendaki tangga mendaki menuju ke atas bukit di mana terletak gereja St John (Sveti Jovan). Setelah sampai di kawasan ini dan mengambil beberapa gambar kami pun berjalan berpatah balik semula bersama-sama beberapa Kumpulan pelancong lain menuju ke Ohrid Street Broadwalk. Kami singgah di restoran untuk tapau makanan untuk dimakan di bilik nanti.
Setelah menjelang malam, kami pun berjalan meninggalkan kawasan Ohrid Street Broadwalk yang masih sibuk dengan aktiviti pengunjung yang berkumpul di setiap deretan kedai-kedai, restoran dan pub-pub. Pada malam itu kami berehat sambil berkemas-kemas mengasingkan pakaian yang sudah dipakai untuk dibasuh.
DAY 9 – Trip to Balkan - Drive Dari Ohrid (Macedonia) via Veles dan Cross Border crossing Delchevo (MK) di untuk menuju ke Sofia (Bulgaria)
Pada pagi Sabtu 13 September 2025, kami bangun seawal pagi untuk solat subuh dan sediakan breakfast sebelum meneruskan perjalanan meninggalkan negara Macedonia untuk ke Sofia, Bulgaria pula. Kami turun membawa bagasi masing-masing dan memuatkannya ke dalam boot kereta sebelum setting Google Maps mengarah ke Rila Monastery (Bulgaria) yang terletak di 2643 Rilski Manastir, Kiustendil, Bulgaria dengan jarak sejauh 375km dari Ohrid dengan jangkaan masa perjalanan sangat lama sehingga 5 jam 30 minit. Kami berhenti di Gas Station untuk mengisi angin tayar dan meneruskan perjalanan ke Bulgaria.
Setelah memandu melalu pekan Veles, kami pun menruskan perjalanan ke border antara Macedonia dan Bulgaria di Delchevo (MK) yang terletak di Border Crossing Stanke Lisichkovo (BG). Kami melalui pemeriksaan immigration dan kastam hampir 1 jam di mana pegawai-pegawai di situ memeriksa setiap dokumen termasuk passport dan juga dokumen kereta. Ada 4 orang pegawai di situ yang berjumpa dan bertanyakan soalan yang sama dan sudah tentulah kami memberi jawapan yang sama walaupun berapa ramai pegawai yang mengajukan soalan. Mereka juga meneliti dokumen tempahan apartment di Sofia sehinggakan memeriksa bilangan/jumlah orang dan umur yang tercatat di dokumen Booking.com. Mereka juga memeriksa kesemua beg yang kami bawa termasuk pack makanan dan barangan yang kami beli sepanjang perjalanan sebelum ini.
Setelah tiada apa lagi yang perlu diperiksa dan buntu, mereka pun membenarkan kami meneruskan perjalanan ke Bulgaria. Inilah pengalaman yang paling tragis dan menggusarkan walaupun kami telah bersedia dengan kesemua dokumen perjalanan yang sah dan kami berdoa agar kesemuanya lengkap dan betul sehinggakan mereka sendiri kelihatan buntu dan akur setelah dibuat cross check dari pelbagai sudut. Mungkin inilah pengalaman dan pembakar semangat untuk seorang pengembara yang sentiasa bersedia dengan berbagai dugaan serta rintangan ketika bernusafir di negara orang….
Papan-tanda arah ke Sofia via Border Crossing Stanke Lisichkovo (BG)
Kami meneruskan perjalanan dengan penuh kesyukuran menuju ke kawasan berbukit dan hutan dengan berpandukan Google Maps untuk ke Rila Monastery (Bulgaria) yang terletak sejauh 50km dari sempadan tersebut dengan masa pemanduan hampir 55 minit. Mana taknya kalau terdapat sebarang percanggahan dalam dokumen sudah semestinya kami diarah utnutk berpatah balik ke Macedonia dan tidak dibenarkan ke Bulgaria. Walaubagaimanapun kami menjadikan detik-detik sebigini sebagai pengalaman yang amat berharga dan mungkin inilah kali terakhir kami ke Bulgaria menurut kami sebuah negara yang tidak mesra langsung kepada pelancong, kemanusiaan dan sesama insan…..
Kami menghampiri kawasan parking dan masuk ke situ lalu berjalan menuju ke pintu gereja Rila Monastery (Bulgaria) yang terletak di 2643 Rilski Manastir, Kiustendil, Bulgaria. Gereja tersebut sangat luas dibina di dalam kawasan hutan tebal dan di atas Kawasan berbukit. Setelah snap beberapa gambar di kawasan hadapan gate kami berpatah balik ke kawasan parking untuk meneruskan perjalanan ke Sofia.
Rila Monastery (Bulgaria)
Kami memandu berhati-hati di negara Bulgaria berpandukan kepada Google Maps yang telah setting ke Sofia (Bulgaria) berjarak 120km dengan mengambil masa pemanduan selama 1 jam 50 minit. Oleh kerana pihak immigration telah menghubungi host apartment Oscar Wilde Apartments semasa kami melintasi border tadi, dia telah bersedia menunggu kami. Kami mengambil kunci dari host apartment tersebut dan mengangkut beg ke bilik apartment tersebut. Dia menasihati kami untuk berjalan kaki sahaja ke kota Sofia yang mengambil masa sekitar 15-20 minit dan setelah solat jamak dan berehat sebentar kami pun turun berjalan kaki berpandukan Google Maps menuju ke arah pusat bandar. Kami telah booking bilik di Sofia - Oscar Wilde Apartments yang terletak di Zona B - 5, Ul. Odrin, Bl. 14, Vh. V, Ap. 138, 1301 Sofia, Bulgaria dengan Booking.com berharga sekitar RM450. Keadaan bilik luas dan kemudahan panty dan dapur yang juga luas. Yang bestnya disediakan coffee maker dan sesuai bagi kami penggemar kopi tegar….
Berjalan-jalan di Sofia City
Sebelum keluar, kami sempat membasuh pakaian yang dikumpulkan sejak dari Kotor lagi di manakala terakhir kami membasuh semasa singgah di apartment kota Kotor, Montenegro. Cuaca petang di Sofia sejuk dan tanpa terasa penat kami berjalan kaki melalui padang yang penuh dengan family yang berehat dan kanak-kanak riuh bermain di playground. Kami juga melalui deretan kedai dan apartment sehingga sampai ke pusat bandar Sofia. Kami lihat sangat ramai pengunjung yang sesak lalu-lalang berselisih di Bazaar Street sambil menjamu selera dan berborak. Kami berjalan menuju ke restoran turki iaitu Mezza Restaurant yang terletak di Sofia Center, ul. "Angel Kanchev" 19, 1000 Sofia, Bulgaria.
Mezza Restaurant
Selepas selesai menjamu selera kami pun keluar berjalan-jalan view kota Sofia, Bulgaria walaupun hari sudah semakin gelap sambil snap beberapa gambar kenangan di bandar tersebut. Kami berjalan berpandukan Google Maps menuju Kembali ke arah apartment.
Setelah sampai ke bilik apartment, kami pun menyidai baju yang dibasuh di ampaian luar balcony lalu membancuh kopi dan berehat sambil berkemas-kemas setelah kepenatan menjalankan aktiviti seharian berjalan-jalan di kota Sofia sebelum tertidur.
DAY 10 – Trip to Balkan – Memandu dari Sofia (Bulgaria) - Skopje (Macedonia) - Border Cross
Pada pagi Ahad 14 September 2025, kami bangun awal untuk solat subuh dan breakfast bekalan yang kami bawa sahaja untuk menghabiskan stok. Pada pagi itu kami keluar di awal pagi menuju ke parking dan memandu mengikut Google Maps yang mengarahkan kami menuju ke bangunan Royal Palace dan Parliament Building di kota Sofia. Jalan utama menuju ke Parliament Building ditutup pada hari minggu ini kerana terdapat acara pertunjukan kereta klasik. Kami sempat merakamkan gambar beberapa kereta klasik yang disusun di sepanjang jalan utama tersebut.
Ada juga bas yang diletakkan berhampiran monument tentera berkuda di Kota Sofia, Bulgaria tersebut. Kami snap gambar berlatarbekangkan monument dan bas lama yang baru sahaja park untuk menyertai pertunjukan tersebut.
Kami juga sempat singgah di Banya Bashi Mosque yang terletak di Sofia Center, Knyagina Maria Luisa Blvd 18, 1000 Sofia, Bulgaria. Di seblah masjid tersebut terdapat kesan Kawasan bersejarah Archaeological Serdica seluas kira-kira 800 m2 dan terdapat juga access terus ke Metro Serdic Underground Station.
Banya Bashi Mosque
Setelah itu, kami meneruskan pemanduan pula ke destinasi menghala ke Skopje (Macedonia) - Border Cross Deve Bair Border Crossing - North Macedonia untuk meninggalkan negara Bulgaria. Kami setting Google Maps menghala ke Mustafa Pasha Mosque, Skopje yang terletak di Fort Kale 1000, Skopje 1000, North Macedonia untuk singgah solat jamak dan juga ke toilet. Setelah itu, kami berjalan kaki ke restoran menu tempatan Kacamaku yang terletak hanya 300m dari masjid tersebut memandangkan terasa lapar setelah memandu sejauh 250km dengan masa pemanduan lebih kurang 3 jam 30 minit melintasi sempadan Bulgaria-Macedonia.
Mustafa Pasha Mosque
Setelah selesai makan dan minum, kami pun berjalan-jalan meninjau deretan kedai-kedai di Skopje Old Town sambil mecari souveniour dan membeli kopi. Kelihatan ramai pengunjung yang makan dan lepak di dalam restoran dan ada juga yang sibuk keluar masuk shopping di kedai-kedai di situ. Kami dapati barang-barang di Skopje cantik dan harganya murah seperti juga di Ohrid. Kami juga mendapati harga minyak adalah paling murah di Macedonia dan juga Kosovo. Jadi sekiranya anda memandu di Balkan pastikan mengisi minyak di negara Macedonia dan juga di Kosovo.
Velkokvski Apartment di Skopje Old Town
Kami berpatah balik menuju ke masjid dan mengambil kereta yang kami parking di tepi junction jalan ke masjid dan setting Google Maps terus menuju ke Velkovski Apartment yang terletak di Hristo Smirnenski 42 1/15, 1000 Skopje, North Macedonia. Kami telah menempah bilik ini melalui Booking.com dengan harga RM176.00 (EUR36.00) semalam (nota - masa chkin - 3.00pm & Paid b4 arrival). Bilik apartment tersebut sangat luas dengan living hall dan dapur yang sangat selesa.
Selepas solat jamak kami keluar semula menuju ke pekan Skopje untuk singgah ke Daut Pashim Hammam, The Monument Of Mother Teresa dan Macedonia Gate / Square yang terletak tidak jauh antara satu sama lain dan hanya boleh berjalan kaki Sahaja ke Lokasi-lokasi tersebut.
Setelah penat berjalan kami drive menuju ke Skopje Old Bazar untuk shopping bagi mendapatkan wang kecil untuk dibayar kepada host apartment tersebut. Kami hanya perlu meninggalkan cash di atas meja semasa keluar esok nanti.
Monument of Mother Teresa di Skopje Old Town
Pada malam itu kami berehat sambil berkemas bagasi masing-masing memandangkan pada pagi esok kami akan keluar check-out awal untuk meneruskan perjalan ke Prishtina, Kosovo.
Ikuti perjalanan kami di Family Trip to Balkan – part seterusnya Memandu ke Prishtina dan Prizren (Kosovo), Podgorica & Zabljak (Montenegro) dan berpatah balik ke Sarajevo dan singgah di Istanbul, Tukiye bersama kami Zoom trip ke negara-negara Balkan……… Jom….

.jpg)



.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)



.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpg)
.jpg)

.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)

.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpg)
.jpg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpeg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)